Kesihatan tubuh badan, juga perlu di ambil kira samada
kesihatan pada fizikal mahupun mental. Jika menghadapi Ramadan dalam keadaan
diri kurang sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa.
Perlu dijaga kesihatan agar Ramadan dapat dinikmati dengan penuh kesempurnaan
dan keselesaan untuk menunaikan amal ibadat.
Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi
Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang
berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila
tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang
tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan
berlakunya pembaziran.
Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi
untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia,
selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat
kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak
melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa
buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya
lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.
Firman Allah SWT yang berbunyi :-
"إِنَّ
ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ
لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا"
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu
saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat
kufur kepada Tuhannya" - (Surah Al- Isra' ayat 27).
Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir
itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan,
"melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan
sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula
bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu
penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri.
No comments:
Post a Comment