Sunday, 29 July 2012

pujuklah hatimu

Seringkali hati bertanya sesuatu yang tidak mampu dijawab oleh akal. Hati seringkali berkata tidak tanpa akal yang mengiringi. Langkah yang tidak seiring itu menjerumus kepada hati memberontak, maka pujuklah hatimu. Bagaimana memujuk hati? Mengapa memujuk? Bila harus memujuk?. Persoalan itu akan terjawab bila kita tahu, Ke mana hati merajuk? Kenapa hati merajuk? Apakah kehendak hati yang merajuk?. Terimalah lakaran hatiku, Pujuklah Hatimu.
Terkadang kita membiarkan hati pergi, pergi menjauh ke tepi muara. Ku pujuk hati, ku merayu. "mari dan mendekat padaku wahai hati, ke pangkuanku". Hati terus menjauh. Lantas ku pujuk hati dan ku katakan padanya "Setiap sesuatu itu telah ditentukan, sabar wahai hati". Hati lalu mendekat, suaranya sudah tidak lagi kedengaran hanya air mata menterjemah segala laku. Lalu hati berkata, "kenapa semua ini terjadi?". Namun tiada lagi kata bisa ku ucap, "maafkanku wahai hati".
Kehidupan adalah suatu ujian yang Allah SWT telah petakan sepanjang perjalanan manusia. Kerana Allah tidak menjanjikan hidup penuh dengan keseronokan tanpa rintangan. Sepanjang perjalanan ini, apa yang kita ada, apa yang kita perolehi adalah nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kebanyakannya datang daripada rasa kecewa dan kesukaran yang pernah kita alami. Hadirnya tatkala ada merupakan elemen "Rahim" Allah yang dititipkan buat kita. Itulah kebahagian disebalik ujian yang dikurniakan. Insyaallah dengan berkat doa akan Rahmah Allah hadapi ia dengan kuat dan tabah walaupun perit.

Hatiku dan Hatimu
Jika diperhatikan keduanya sudah semestinya berbeza, hatimu dan hatiku. Namun percayalah ia adalah daripada acuannya yang sama. Datangnya hati memberi seribu rasa bagi jasad. Keselarasan dalam membimbing hati dan jiwa diiringi jasad adalah satu keperluan dan bukan sekadar kehendak. Keperluan mestilah didahului daripada kehendak kerana keperluan ialah penghidupan manakala kehendak ialah pelengkap.
Hati merupakan raja yang mengawal seluruh tubuh badan. Maka dengan bahasa mudah untuk menjaga tubuh badan maka hati mesti dijaga. Dari hati segalanya bermula ibarat "Motherboard" atau keperluan yang menjadi landasan kepada sistem jasad. Mengawal komponen-kompnen lain yang menjadi pelengkap kepada keperluan. Jika motherboard ini rosak maka seluruh sistem komponennya akan mengalami masalah. Masalah yang membuatkan diri kita tidak senang duduk selalu berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan.
"Sesungguhnya dalam sesuatu jasad ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah daging itu ialah hati"
(Hadis Riwayat Ahmad)
Hati Adam VS Hati Hawa
Sistem yang Allah SWT telah aturkan adalah bersifat saling kebergantungan antara satu sama lain. Hati Adam dan Hawa sudah pasti berbeza. Lihat sahaja kepada penciptaan keduanya, itu menggambarkan bahawa keduanya datang dari syarikat (bahan) yang berlainan. Adam daripada tanah dan Hawa daripada tulang rusuk Adam. Kenapa terjadinya sebegitu? Ia adalah memenuhi apa yang dikatakan keperluan dan kehendak. Keperluan untuk bersama dan kehendak untuk memahami hati keduanya.
Kata Hujatul Islam dalam bait katanya yang berseni bahawa : "Lelaki mempunyai 1 Nafsu 9 akal manakala wanita mempunyai 9 nafsu 1 akal.  Ramai yang keliru dengan kenyataan menarik di atas namun yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali dalam bahasa yang mudah difahami adalah lelaki mempunyai 1 emosi 9 rasional manakala wanita mempunyai 9 emosi 1 rasional. Ini menggambarkan kepada kita bahawa perbezaan peranan yang dimainkan oleh wanita dan lelaki dalam sistem kehidupan. Wanita dan lelaki mempunyai tanggungjawab yang berbeza dan perlu difahami agar sistem nilai tidak pincang dek kerana kurang memahami tanggungjawab masing-masing.
  
Hatiku dan Hatimu Berubah (Qalbun Maddatan)
Dalam Keadah bahasa Arab hati sebut "Qalb" kerana hati ini mudah bergerak, mudah berbolak balik.  Ya, Hati manusia pasti berubah. Berubah mengikut apa yang mengubah. Perubahan persekitaran, masa, situasi dan tempat. Perubahan kadang-kadang membawa kegembiraan tidak kurang juga penderitaan. Mana mungkin seorang yang kehilangan ibu dan bapa akan diam seribu bahasa tanpa mengalami perubahan. Mungkin perubahan darisegi pertuturan yang lebih diam atau perubahan hati supaya lebih cekal dalam menghadapi hari mendatang.
Kita harus memastikan perubahan yang ingin dibawa adalah perubahan yang membawa kepada perkara yang lebih baik walaupun menempuhnya menuntut seribu kepahitan dalam perjuangan. Apa yang lebih penting adalah untuk kita menjaga hati supaya lebih tetap dengan agama Allah. Lihatlah di sekeliling kita, perubahan masyarakat sangat ketara menunjukan kepada kita tentang betapa manusia menghidapi penyakit hati yang serius. Arakian, gejala yang berleluasa adalah isu murtad yang kurang mendapat liputan dari media dan tidak menjadi topik utama dalam minda.
Manusia sudah tidak bertindak seperti manusia yang mengikut landasannya sebagai hamba. Bagaimana hendak memanusiakan manusia? Maka jawapannya ialah Agama Islam. Saya pasti tidak ada Kekhilafan antara kita dengan jawapan itu. Namun adakah dengan hanya manis dibibir tapi racun dihati? Islam terbina salah satunya adalah dasar nasihat, sebab itu disebut "Addin Nun Nasihah".
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Agama itu nasihat. "kami bertanya: Untuk siapa. Baginda menjawab: "Untuk Allah, Untuk KitabNya, Untuk RasulNya, untuk para kaum muslimin dan untuk orang awam"
(Riwayat Muslim)
Dari mana hendak mendapatkan nasihat? Pergilah mencarinya di rumah-rumah Allah. Pilihlah masjid-masjid yang aktif dari segi pengurusan pengajian umum yang dijalankan. Insyaallah berbekas dihati.

Persoalan Kenapa, Kemana dan Apa
Kenapa hati merajuk? Itu persoalan utama yang sukar untuk ditafsirkan. Hati yang menerima rasa, sedih kecewa, suka, duka, gembira dan berbagai lagi. Ke mana hati itu pergi? Itulah yang perlu dikesan. Hati yang merajuk jangan dibiarkan pergi menjauh dari Tuhan yang menciptanya, kelak akan membawa kepincangan. Hati yang jauh dari fitrah akan mengundang fitnah yang sangat impak pada hati.
Apakah natijah daripada hati yang dihinggapi rasa fitnah? Sudah pasti akan timbul rasa mazmumah yang tinggi berbekas didalamnya. Apabila Muzmumah sudah bersarang maka hati akan sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Kemuncaknya hati akan memberontak dan timbullah warna sebenar dalam diri. Kelak menjadi cacian dan cemuhan yang tidak mungkin terpandam dengan mudah.
Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah "memberontak" kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu "demonstrasi" seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Persoalan Bagaimana, Mengapa  dan Bila
Bagaimana hati harus dipujuk? Hati harus dipujuk bersama dengan fitrah. Ya, fitrah hati yang sentiasa mahukan kebaikan bukan keburukan. Seseorang perlulah bermujahadah dalam memujuk hati. Namun harus difahami ayat di atas ialah bermujahadah perlukan pengorbanan. Pengorbanan melawan musuh terdekat hati,Nafsu. Mengapa Nafsu dikatakan musuh terdekat kerana ada bersamanya Iblis. Menyelinap masuk di setiap aliran darah manusia. Begitu dekat sekali dengan kita.
Manusia bertindak bukan atas dasar tahu tapi manusia bertindak atas dasar mahu. Maka mengapa manusia bertindak atas dasar mahu? Jawabnya hati yang mahu. Hati berkata mahu dan jasad bertindak untuk memenuhi mahu. Oleh itu mahu perlu didasari atas keikhlasan, kerana keikhlasan akan menimbulkan mahuyang jelas. Bacalah doa diatas agar sentiasa tetap pendirian dalam setiap perkara.

Bahasa Melayu dan Hati
Dalam Bahasa Melayu dalam istilah bahasa atau simpulan bahasa terdapat banyak penggunaan perkataan hati. Kecil hati, besar hati, hati kecil, hati emas, baik hati, busuk hati, berhati-hati, perhatian, dan banyak lagi penggunaan bahasa yang berkaitan dengan hati. Mengapa semuanya hati?  Indahnya sesuatu penggunaan bahasa itu. Katakan bila mana seseorang itu menolong seorang buta untuk melintas jalan.
"Mari saya tolong pakcik?" kata seorang anak muda.
"Terima kasih anak muda, baik hati kamu" Kata orang buta itu.
Lihat bagaimana penggunaan bahasa yang digunakan. Salah satu kecantikan Bahasa Melayu, menunjukkan hati memainkan peranan dalam setiap perkara. Mengapa tidak disebut "baik tangan kamu" atau "baik kaki kamu" ? ini kerana buat baik hati dapat nama buat jahat hati juga mendapat nama. Itulah hati (dalam konteks bahasa).

Jangan Butakan Hati Anda
Hati buta adalah hati orang kafir. Hati yang telah tertutup daripada hidayah Allah.
Allah berfirman yang bermaksud :
"Sekali-kali tidak, sesungguhnya perbuatan dosa yang selalu dilakukan telah menutupi hati mereka. Sekali-kali tidak, Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup daripada (memandang) Tuhan mereka."
(Surah al-Mutafifin ayat 14-15)
Syarat penerimaan ibadah yang diperjelaskan oleh Imam Al-Ghazali dala kitab Ihya' Ulumuddin adalah ikhlas dan juga mengikut cara Rasullullah. Oleh itu, mana datang ikhlas kalau bukan hati mendatangkan ikhlas. Didik hati untuk ikhlas perlu dalam konsep ibadah, soalnya bagaimana? Jawapannya tunaikanlah janji anda. Janji seorang hamba Allah dengan pencipta, janji seorang anak dengan kedua ibubapa, janji Sahabat bersama sahabatnya, janji isteri kepada suami dan sebaliknya, janji kita bersama semua.
Apaabila semua itu tertunai bererti kita telah memberi. Memberi dengan kualiti jiwa bukan kualiti harta. Bukankah Rasullullah s.a.w  telah bersabda:-
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Justeru, berilah makanan kepada hatimu berupa zikrullah. Jangan terlalu berbangga dengan kekuatan dan kecantikan susuk  badan. Kenapa hanya senaman jasmani sahaja? Bukankah rohani perlu dicantikkan lebih daripada jasmani.
"Ya Allah, hati ini telah lama berkarat, penuh dosa dan maksiat, Kurniakanlah kami hati yang baru yang Engkau beri padanya rahmat, Agar hati itu sentiasa berkilat, moga hati yang baru itu sentiasa sihat, dan moga hidup kami menjadi berkat."

Tuesday, 24 July 2012

Persediaan Menghadapi Ramadan



Kesihatan tubuh badan, juga perlu di ambil kira samada kesihatan pada fizikal mahupun mental. Jika menghadapi Ramadan dalam keadaan diri kurang sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan agar Ramadan dapat dinikmati dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan untuk menunaikan amal ibadat.
Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.
Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.
Firman Allah SWT yang berbunyi :-
"إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا"
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" - (Surah Al- Isra' ayat 27).

Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri.

Wednesday, 18 July 2012

kejarlah ilmu datanglah cinta

"Ibu dulu..kalau nak beli buku, simpan duit sikit-sikit. Sebab tahu ibu susah..."
Saya mendengar lagi.
"Kalau dulu masa nak cari kerja, kayuh basikal pergi Pustaka Awam nak baca surat khabar. Cari jawatan kosong,"
"Ye ke, Ibu. Susahnya dulu..." Saya menjawab tanda setia mendengar cerita ibu
"Lepas tu Ibu ada dapat temuduga. Dan temuduga lagi. Tapi tak ada rezeki dapat kerja. Akhirnya, temuduga sekali tu, jumpa Abah. Last-last Ibu kahwin dengan Abah,"
"ok lah tu..Ibu cari kerja tapi dapat Abah.."
Gelak ketawa dua beranak pecah di meja makan.
***
Statistik anak luar nikah semakin meningkat dan isu dumping babies tiada berkesudahan. Budaya hedonism, berhibur secara berlebihan menyerap ke dalam minda dan gaya hidup remaja kini. Solat hanya sekadar ritual yang tiada mampu memberi kesan terhadap akhlak. Masalah sosial yang membimbangkan makin menakutkan kerana mudahnya menelusuri jaringan sosial. Just one click. Click!
Dan  tenggelam dalam cinta manusiawi,  kini bukan suatu yang menghairankan andai adik-adik yang masih bersekolah rendah juga punya 'pakwe' dan 'makwe'. Bukan sesuatu yang asing antara remaja lelaki dan perempuan yang bersekolah menengah membahasakan diri sebagai 'papa' dan 'mama'. Seronokkah dilamun cinta?
Sewaktu bunga-bunga tersenyum indah dan mekar di taman, agaknya mungkin itu yang dikatakan suatu kelebihan. Kelihatan bahagia saat meng update status Facebook meluah cinta.
"I love u, sayang...".
"kau satu dalam sejuta...".
"dulu, kini dan selamanya kau di hati...".
Bikin hati senang. Namun senang itu tenangkah?
***
'Hai awak, boleh kita kenal?'
Pernah menerima pesanan daripada seseorang yang tidak dikenali. "Hai, boleh berkenalan?" merupakan trademark biasa si kumbang mahu memikat bunga. Usah cepat melatah. Kerana perempuan ini memang dikenali sebagai makhluk yang mudah perasan. Benar bukan? Itu juga salah satu punca. Ini juga satu masalah andai mudah membuka ruang. Kerana tiada mungkin tepukan akan berbunyi andai tiada yang menyambutnya.
Pesan kakak untuk adik Hawa kecil yang disayangi, kita usah cepat perasan dan melatah. Bimbang andainya akan terjatuh ke dalam lubang yang gelap dan dalam. Sukar untuk kembali..
Dalam tenang cuba menyelidik. Ternyata seorang lelaki yang berpangkat adik, masih bersekolah. Tiada mengetahui perkataan apa yang harus diutarakan. Hanya mampu menggelengkan kepala. Tersenyum lucu dalam kehampaan. Sedih...Mengapa begini...
Pesan kakak duhai adik Adam kecil yang dikasihi, kalau ingin berkenalan, mari kenal kakak. Adik belum lihat singa yang berjilbab. Usah takut...kakak hanya menyinga dalam jasad arnab... (senyum)
***
"Adik tahu tak yang kematangan dan matlamat itu penting?"
"Kenapa penting, kak?"
"Penting kerana... andai diri matang, apabila ada yang mahu mengurat, pastinya tidak akan dilayan. Sebab orang yang matang ini tahu apa yang terbaik buat diri. Orang yang matang ini tahu apa yang dia hennak dalam hidup. Cinta Allah didamba. Pelajaran lebih utama. Pesanan ibu dan bapa sentiasa terngiang di telinga. Belajar dahulu...usah dilayan cinta monyet"
Dush!
"Kalau matlamat pula?"
"Itu pun penting kerana manusia yang bermatlamat itu seorang yang berpandangan jauh. Apabila mengetahui apa yang seharusnya dikejar buat masa sekarang, akan sengaja dicicirkan perkara yang tidak perlu. Kerana apa? Kerana mereka yang punya matlamat tidak akan mensia-siakan masa yang terluang dengan perkara yang tiada memberi manfaat. Apatah lagi sewaktu minda masih cerdas dan tubuh masih cergas. Tidak akan membazirkan waktu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Tidak akan melalaikan hati dengan cinta yang tiada mempunyai arah. Jadilah manusia mukmin yang bertaqwa. Mereka banyak berfikir untuk dunia yang abadi dan meninggalkan perkara yang sia-sia. Banyakkanlah berfikir yang boleh menambah iman. Bukankah kita manusia yang dikurniakan akal oleh Allah untuk berfikir,"
Dush!
"Jadi kak, macam mana nak jadi orang yang matang dan punya matlamat ni?"
"Dengan ilmu sayang.. "
***
Kerana itu duhai adik yang kakak sayangi... fokuslah pada tuntutan ilmu terlebih dahulu...
Kerana dengan ilmu sahaja bisa memandu diri memilih haluan yang benar.
Kerana dengan ilmu sahaja bisa memberi cahaya buat diri melalui titian yang betul.
Kerana dengan ilmu bisa menambahkan kecintaan terhadap Dia Rab Sekalian Alam.
Apabila berilmu, diri akan mengetahui syariat yang digariskan oleh Allah. Apabila berilmu, mengetahui bezanya antara yang hak dan yang batil.
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"
Selak Al-Quran, surah Az-Zumar ayat 9.
Apakah sama orang yang berilmu dan tidak berilmu?
Semestinya tidak, sayang...
Kerana orang yang berilmu takut berpegangan tangan dengan dia yang bukan mahram.
Kerana orang yang berilmu takut andai hati makin kotor kerana jauh dari sinar-Nya.
Kerana orang yang berilmu takut melakukan maksiat kerana tahu Allah itu Maha Melihat.
Kerana orang yang berilmu takut andai usia yang ada hanya terbuang begitu sahaja dan tiada manfaat kepada penambahan amalan.
Itu dia. Ilmu mewujudkan perasaan khauf. Takut kepada Allah.
***
Saat ilmu dituntut, usah biar cinta melutut.
"Tapi kak, ada kawan saya, couple pun, result gempak apa,"
"Result gempak itu adakah kerana si dia yang mendoakan? Kakak pasti itu kerana doa si ibu yang makbul. Dan kakak yakin si dia hanya mengajar cara bertasbih dengan handphone"
Sudah menjadi sunnatullah, hasil berbuah apabila ada usahanya terlebih dahulu. Mungkin kerana si dia pemberi semangat, diri berkobar-kobar dan berbunganya hati sewaktu melangkah masuk pintu pagar sekolah. Mungkin kerana si dia yang tulus menunjukkan kasih, diri setia memberi sayang. Sumber inspirasi kejayaan katanya.
Andai langkahan menuntut ilmu diniatkan kerananya, bagaimana pula dengan Dia?
Andai cinta melutut di celah ilmu yang dituntut hingga mendorong diri menghampiri maksiat, di manakah keberkatannya?
Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati mereka yang melakukan maksiat. Cahaya Allah tidak akan diberikan kepada mereka yang melakukan maksiat. Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya mengenai hafalan yang terjejas. Gurunya lantas memberi nasihat, "tinggalkan maksiat".
Apabila ilmu tiada keberkatan, 'A' di kertas hanya sebagai teori. 'A' di kertas hanya sekadar huruf. 'A' di kertas itu tiada mampu menjadikan diri lebih takutkan Allah. 'A' di kertas itu tiada mampu menimbulkan perasaan benci kepada maksiat. 'A' di kertas itu tiada mampu menyinarkan hati agar menambahkan ibadah. 'A' hanya tinggal sia-sia tanpa memberi makna.
Maka tidak hairan apabila hafiz dan hafizah juga berzina hingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Ini realiti. Kisah benar.
Naudzubillah! Kami berlindung kepada-Mu ya Allah daripada termakan hasutan syaitan.
"Kenapa kakak nak sibuk, mak ayah saya pun tahu my love siapa... Siap datang rumah lagi,"
Adikku sayang... kita hidup kerana Allah. Allah yang menciptakan kita. Dialah pemilik mutlak hati. Kembara di bumi ini bukan mengikut peraturan dan anggukan ibu bapa saat melihat anak berpegangan tangan tanpa ikatan tetapi mengikut segala apa yang diaturkan Allah. Usah berlaku sombong. Kerana kita hanya hamba dan Dia Pencipta. Benar bukan?
"Memang saya couple, kak...dan malu juga bila orang tahu saya couple...kakak pun tahu..."
Mengapa harus malu dengan manusia sedangkan seharusnya malu itu kepada Allah. Harus malu kerana Dia yang memberi rezeki tetapi dibalas dengan menduakan cinta-Nya. Harus malu kerana Dia yang menghidupkan hati dengan rasa cinta tetapi diletakkan cinta itu pada tempat yang salah! Malah mencemarkan makna cinta yang suci...
Dan namanya kakak, apa yang betul sedayanya cuba kakak coretkan. Apa yang salah semampunya kakak tegur. Namun kasih sayang kakak tetap tiada berkurang. Andai kakak juga menggatal tak bertempat, adik pun boleh tolong tampar kakak apa, kakak cakap pandai sangat... Ok?
***
Akhirnya... Dengan ilmu, ingatilah kematian.
Sungguh kematian itu peringatan yang terbaik. Apabila teringat akan kematian, lenyaplah segala kelazatan.
Apabila mengingati kematian, keseronokan couple hilang begitu sahaja. Cuba adik bayangkan mereka yang bercouple itu akan mula lalai daripada mengingati Allah. Siang malam dihabiskan masa dengan bermesej. Solat hanya sekadar pergerakan. Aurat mula terbuka sedikit demi sedikit. Ibadah tiada pertambahan. Yang ada dalam fikiran hanya dia. Ibu dan ayah menyuruh supaya belajar bersungguh-sungguh namun lihatlah contengan love berpanah pada halaman akhir buku tulis. Nah, angau...
Dan bayangkan pula, sewaktu pulang dari sekolah, mereka yang bercouple berjanji mahu keluar bersiar-siar di bandar ingin memadu kasih. Si Hawa membonceng motosikal si Adam. Belum sempat tiba di destinasi yang dituju, mereka menemui ajal.

Kesimpulan.
Dahulukan ilmu di usia muda. Percayalah cinta sebenar bakal menyusul dengan keizinan-Nya. Tuntutlah ilmu kerana Allah. Tuntutlah ilmu untuk diamalkan bukan hanya sekadar 'A' di kertas untuk dibanggakan. Sentiasa dengar pesanan ibu dan ayah, kelak redha Allah menemani diri dalam menjalani kembara dunia.
Duhai ilmu,
Ke marilah mendekat kepadaku...
Moga cinta-Nya bisa aku kecapi...
Dan saat tiba masa yang sesuai...
Duhai cinta, datanglah menemani!

Monday, 16 July 2012

TEKNIK KARANGAN


Menulis karangan dengan menggunakan teknik yang mudah
Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.
Karangan juga persis manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan.
Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan.
Mengetahui Kehendak Karangan
Setelah memilih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Dalam kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Ini untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat dan terelak daripada terpesong isi atau terkeluar daripada tajuk.
Membina Perenggan
Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat. Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Dengan yang demikian, karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan.
Untuk memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis. Untuk peringkat PMR, sebaik-baiknya tiga atau empat ayat, manakala untuk SPM, seelok-eloknya dibina lima ayat. Ini penting untuk mengimbangkan huraian dan juga jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan.
Perenggan Pendahuluan
Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya.
Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Lihat contoh pendahuluan di bawah:
   (1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air".
Perenggan Isi
Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.
Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.
Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:
  (1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
Perenggan Penutup
Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
Menyatakan semula
Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. Contohnya:
    (1) Sebenarnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk membanteras pencemaran air. (2) Namun usaha tersebut tidak banyak membantu kerana sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan persekitaran. (3) Projek pembangunan yang rancak dijalankan di sana-sini tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar pula menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang teruk yang mampu menjejaskan kualiti air di sungai atau tasik, dan keadaan tersebut lebih teruk apabila kebanyakan ahli masyarakat yang tidak suka mematuhi peraturan yang digubal oleh pihak berkuasa.
Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama.
Membuat ramalan
Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.
    Sikap sedemikian jika dibiarkan berterusan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Pelbagai jenis penyakit bawaan air yang sukar dikawal akan merebak dengan cepat, dan menjejaskan kesihatan penduduk. Selain itu, hal ini akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi, bukan sahaja untuk mengubati pelbagai penyakit tersebut, tetapi juga untuk memulihkan sungai, tasik atau laut yang tercemar.
Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir.
Memberikan syor
Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:
    Jelaslah bahawa sikap masyarakat menyebabkan pencemaran air berleluasa di mana-mana sahaja. Untuk mengatasinya, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan perlu dipupuk. Kempen, ceramah dan pertandingan perlu dijalankan dari semasa ke semasa sehingga masyarakat dapat mendisiplinkan diri dalam aspek kebersihan. Selain itu, peraturan yang sesuai perlu digubal, ditambah atau diubah suai. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang tegas wajib dilaksanakan untuk memastikan segala program mencapai matlamatnya.
Unsur-unsur Lain yang Penting
Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan.
Mematuhi jenis karangan dan format
Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan.
Bahasa yang berkesan
Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Manakala perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan.
Ejaan dan tanda baca
Didapati kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah

sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Tetapi markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Banyak pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Didapati tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali.
Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan.